Translate

Thursday, 3 May 2012

Masalah Pembuangan Bayi


PENGENALAN

 
Pembuangan bayi merupakan perbuatan manusia yang membuang atau meninggalkan sahaja bayi untuk tempoh masa yang panjang.  Pembuangan bayi ini berlaku di kawasan awam mahupun di kawasan terbuka dengan niat untuk menghapuskan bayi tersebut dalam kehidupan mereka (Kaye, Borenstein & Donnelly,  1990).  Pembuangan bayi ini adalah merupakan satu jenayah kerana niat meninggalkan dan perbuatan membuang bayi yang dilakukan adalah pada tempat yang membahayakan sehingga menyebabkan kematian terhadap bayi tersebut.  


            Masalah pembuangan bayi merupakan salah satu masalah sosial pada hari ini yang kritikal dan mempunyai peningkatan kes yang kronik saban hari.  Masalah ini semakin teruk adalah disebabkan oleh timbulnya banyak kes wanita mengandung yang tidak dirancang iaitu mengandung anak luar nikah yang berlaku sejak akhir-akhir ini.  Wanita ini melakukan perbuatan membuang bayi adalah disebabkan oleh tekanan terhadap status bayi mereka yang menyebabkan mereka berasa malu dan tidak mahu bertanggungjawab terhadap bayi tersebut menyebabkan berlakunya pembuangan bayi dan keguguran bayi.  Tambahan pula, gadis yang bermasalah ini berasa takut di atas perbuatan terkutuk mereka akan diketahui oleh keluarga menyebabkan mereka membuang bayi tersebut.


 
                 Pembuangan bayi merupakan tindakan yang zalim kerana kebanyakkan bayi yang telah dibuang ditemui mati dalam keadaan yang menyayat hati dan menyedihkan.  Masalah ini amat membimbangkan kerana terdapat bayi yang dibuang mati digonggol oleh anjing, mati kelemasan, mati terjatuh dari tempat tinggi dan sebagainya.
            Bayi merupakan anugerah yang tidak ternilai tetapi sesetengah individu menganggap bahawa bayi itu harus dibuang untuk menutupi kesalahan yang dilakukan.  Terdapat beberapa langkah-langkah yang boleh di ambil bagi mencegah masalah ini dari peringkat awal.  Selain itu juga peranan kerajaan dalam menangani masalah ini amat penting.  Bagi menyelesaikan Masalah ini, semua pihak haruslah bekerjasama bagi menyelesaikan dan mencegah masalah ini daripada terus berlaku.

Definisi Pembuangan Bayi
 
Menurut Anitayahya (2007) Pembuangan bayi ataupun pengguguran bayi membawa maksud sebagai satu proses penamatan bayi atau janin yang dikandung oleh ibu yang hamil sama ada bayi tersebut cukup bulan ataupun tidak cukup bulan dengan tujuan untuk memusnahkan janin tersebut.  Pembuangan bayi ini merupakan satu jenayah yang teruk dan kejam kerana tanpa sikap yang berperikemanusian seseorang individu sanggup membunuh seorang bayi yang tidak berdosa bagi menutupi kesalahan yang dilakukan mereka.
            Menurut kamus dewan edisi ke-4 (2008), perkataan buang membawa maksud sesuatu perbuatan yang mencampakkan, melemparkan, menghapuskan dan menghilangkan.  Manakala perkataan bayi membawa maksud sebagai anak kecil yang baru dilahirkan oleh seorang wanita.  Oleh itu, pembuangan bayi pula didefinisikan sebagai perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak bersalah dan berdosa dengan sikap yang tidak berperikemanusiaan.  Pembuangan bayi ini dilakukan di merata tempat tidak kira di tempat awam seperti masjid, stesen bas, kedai makan dan kedai makan dan pembuangan bayi ini juga dilakukan di tempat yang tersembunyi seperti dalam tong sampah dan di dalam sungai.
 

            Selain itu juga pembuangan bayi juga boleh didefinisikan sebagai perbuatan seseorang individu yang telah membuang bayi mereka di tempat awam.  Kebanyakkan wanita yang membuang bayi tersebut adalah golongan muda, belum berkahwin, keadaan fizikal yang sihat dan mengandung buat kali pertama (Kaye, Borenstein & Donnelly,  1990).  Wanita-wanita yang melakukan perbuatan ini biasanya kurang matang dalam mengawal emosi mereka dan  tidak boleh menyelesaikan masalah mereka dengan baik (Drescher-Burke, Krall & Penick, 2004).
            Wanita yang membuang bayi mereka atau membunuh bayi yang baru dilahirkan secara umumya tidak mempunyai rancangan untuk kelahiran atau penjagaan anak-anak mereka dan tidak menerima rawatan ketika hamil.  Antara sebab-sebab berlakunya pembunuhan dan pembuangan bayi tidak bersalah ini adalah bayi tersebut merupakan anak luar nikah, rogol, pelacuran, hubungan sumbang dan melihat bahawa kelahiran bayi tersebut menjadi penghalang dalam mencapai sesuatu matlamat (Pitt & Bale, 1995).

      
 

No comments:

Post a Comment